Bapa dua anak ini yang hanya mahu dikenali sebagai Imran, 42, berkata dirinya berkenalan dengan Maya, 26, ketika bersama rakannya ke pusat hiburan setahun lalu, dan wanita itu kemudiannya sentiasa menemaninya pula.
“Kali pertama bertemu dengan Maya, saya sudah tertarik dengan bentuk tubuhnya yang langsing dan sejak itu saya sering ke tempat kerjanya tanpa pengetahuan isteri dan kawan.
“Saya jenis lelaki yang suka bersosial tetapi mahu setia pada yang satu. Jadi tak mungkin saya dapat membawa Azlin keluar bersama kerana penampilannya yang bertudung,” dia dilaporkan oleh Harian Metro, merujuk isteri pertama.
Imran berkata, oleh kerana bimbang Maya dirampas lelaki lain, wanita itu dikahwininya secara rahsia di negara jiran pada Februari tahun lalu selepas mendapat galakan daripada rakan-rakan.
“Setiap kali keluar bersama, Maya sentiasa menjadi perhatian kerana pakaiannya yang seksi membuatkan saya berasa bangga kerana dapat mendampinginya.
“Saya akui perasaan berjalan bersama Maya tidak sama ketika keluar bersama isteri kerana penampilan Azlin yang bertudung membuatkan saya segan bersosial dengannya berbanding Maya,” katanya kepada akhbar itu.
Imran juga mengaku sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit untuk menjaga penampilan Maya yang dianggapnya sebagai satu “trofi” untuk ditayangkan kepada rakan-rakannya.
“Bukan saja wang simpanan saya RM30,000 licin, malah pinjaman peribadi RM80,000 turut dihabiskan hanya kerana mahu nampak berduit di mata Maya,” katanya.
Selepas tiga bulan menikahi Maya, isteri pertamanya Azlin, 39, menuntut fasakh di mahkamah selepas mengetahui dia diduakan.
Bukan itu sahaja, malah Imran berkata Maya juga meningggalkannya selepas itu kerana sudah ketiadaan wang.
“Hendak menyesal pun sudah terlambat dan hanya mampu berdoa dengan harapan Azlin dan sepasang anak kami dapat menerima saya kembali,” katanya. Sumber: The Malay Mail Online
0 comments:
Post a Comment