Ia adalah satu perkara yang amat menyedihkan, ia sebenarnya hasil dari sikap sebahagian umat Islam hari ini mengambil ringan tentang hukum Islam. Ia menjadi lebih bahaya apabila disebabkan kejahilannya menjadikan hukum sebagai bahan gurauan.
"Tak pe ustaz kan, pandangan pertama tak berdosakan, cuma kami pandang lama je la ?" tanya seorang pemuda berumur 35 tahun kepada saya sambil tersenyum-senyum selepas dia merenung wanita berskirt di hadapannya.
Berkenaan larangan melihat kali kedua kepada aurat ini diriwayat dalam beberapa buah hadith, antaranya hadith : "Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya.
Demikian juga kata Baginda SAW kepada Ali KW :
لا تتبع النظرة النظرة , فإنما لك الأولى وليست لك الآخرة
Ertinya : "Jangan kamu ikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain, kerana yang pertama bagimu ( diampunkan) dan tidak bagi yang kedua" ( Riwayat Ahmad, Abu Daud, Albani : Hasan)
ARTIS & LAWAK HUKUM
Lebih teruk lagi terdapat artis Malaysia yang sanggup menggunakan lafaz-lafaz Islam seperti ‘MashaAllah' dan ‘InshaAllah' serta ‘Allahu Akbar' dalam lakonan lawak mereka sambil sengaja disebut dalam bentuk yang melucukan. Ini amat jelas memperlawakkan lafaz mulia Islam, ia amat kerap dilakukan oleh satu kumpulan pelawak Malaysia yang terkenal. Moga mereka diberikan hidayah oleh Allah SWT.
Demikian juga dengan ucapan alhamdulillah bagi seorang artis yang berpakaian separuh bogel dikhalayak umum apabila berjaya meraih sesuatu anugerah di media. Atas nama seni dirasakan tindakannya halal. Pada hakikatnya jika lakonannya itu penuh dengan adegan ‘peluk sana sini' dan ‘dedah sana sini', maka di ketika itu ia bukanlah lagi sebuah seni mulia yang diiktiraf Islam. Ia adalah seni ‘fasad' yang berdosa dan tidak layak diraikan dengan ungkapan mulia Islam.
Ketika itu, kemenangan mereka di atas pentas dan melafazkan ucapan sedemikian adalah satu bentuk mempermainkan hukum dan lafaz Islam di tempat yang tidak sewajarnya. Seolah-olah seorang yang ingin merompak membaca 'Bismilah' ketika memulakan rompakannya dan mengucapkan ‘Alhamdulillah' apabila berjaya terlepas dari kejaran polis, atau menyebut ‘Alhamdulillah' di dalam tandas, atau seperti seorang peminum arak mengucapkan "alhamdulillah" apabila menyelesaikan minumannya.
Menurut kaedahnya, semua ini menambahkan lagi dosa si pelaku terbabit disebabkan wujud unsur penghinaan samada secara langsung atau tidak langsung kepada hukum serta lafaz mulia Islam. Walaupun mereka tidak langsung berniat untuk menghina lafaz mulia itu.
Apabila ia adalah sebuah hukum atau ucapan zikrullah, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan atau menyebutnya di tempat yang tidak sewajarnya. Nabi SAW bersabda :-
ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب
Ertinya : " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka sejauh antara timur dan barat" ( Riwayat Al-Bukhari dengan Fathul Bari, Bab Hifdz Lisan, 11/376 , no 6477)
Imam Ibn Hajar Al-Asqolani menegaskan bahawa erti hadith ini adalah seorang yang bercakap tanpa jelas maksud ayatnya sehingga menjadikan ia boleh membawa maksud yang pelbagai sehingga sebahagiannya boleh mencarikkan sesuatu hukum. (Fath Al-Bari, 11/376)
HINA ISLAM, BERTUDUNG & MAKSIAT
"Amat memalukan la ustaz, saya baru jumpa satu video yang tunjukkan pasangan melayu ditangkap di tasik-tasik dan tempat awam tengah bercumbuan, apa pandangan ustaz, hampir 95 % darinya bertudung jenis tak sempurna tu ustaz, ustaz tau tak?" tanya seorang pendengar kuliah saya sejurus selepas kuliah saya berkenaan aurat.
Kemudian selang beberapa hari, pemuda ini menghantar email kepada saya beserta satu petikan video yang dimaksudkan. La Hawla Wala Quwwata Illa Billah..wa Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun..memang amat mendukacitakan.
Pemuda itu juga menulis seperti 'kepeningan' dan 'kebingungan' dengan persekitaran ini dengan katanya
"Boleh tak agaknya saya buat kesimpulan bahawa hampir semua wanita yang bertudung pendek atau fesyen, dengan kain belah atau baju sempit atau baju kurung biasa, semua ni jenis yang 'murah' dan boleh diajak seks bebas dengan mudah hari ni, apa pandangan ustaz?" Mengurut dada saya mendengar kesimpulan pemuda berpakaian kemas dan bekerjaya profesional ini. Sudah tentu amat marah para wanita dengan kesimpulan si pemuda ini.
"Saya hanya masih percaya dengan wanita yang berjubah dan bertudung labuh sahaja sekarang ini ustaz, harapnya mereka dapat pertahan maruah dan kesucian mereka serta tak jadi macam si pemakai tudung pendek yang terbukti tiada banyak beza dengan free hair" katanya lagi dengan tegas.
Selepas pemuda ini mengutarakan pendiriannya barulah saya memberikan penjelasan panjang lebar. Bagaimanapun saya belum berhasrat menyebutnya di ruangan ini, cukuplah saya dedahkan betapa kecewanya pemuda profesional ini dengan apa yang berlaku di hadapan matanya.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, wahai wanita bertudung kembalikan maruah anda dengan tutupan aurat yang sebenarnya, akhlak wanita Islam yang sebenarnya, janganlah merosakkan imej Islam itu dengan maksiat yang amat dimurkai Allah SWT. Sesungguhnya kenikmatan duniawi amat amat sementara, carilah kenikmatan akhirat yang kekal abadi.
Dari sudut hukum pula, hal wanita bertudung yang melakukan maksiat, dosanya sudah tentu lebih hebat dari wanita lain. Namun INI TIDAK SAMA SEKALI BERMAKNA WANITA ITU LEBIH BAIK MELAKUKAN MAKSIAT DENGAN MEMBUKA TUDUNG, KERANA MEMBUKA TUDUNG ITU SENDIRI ADALAH SATU DOSA BESAR YANG BERASINGAN DENGAN MAKSIAT YANG DILAKUKANNYA. Hal gandaan dosa ini boleh difahami dari ayat seperti :-
يَا نِسَاء النَّبِيِّ مَن يَأْتِ مِنكُنَّ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ يُضَاعَفْ لَهَا الْعَذَابُ ضِعْفَيْنِ وَكَانَ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا
Ertinya : Hai istri-istri Nabi, siapa-siapa di antaramu yang mengerjakan perbuatan keji yang nyata, niscaya akan dilipat gandakan siksaan kepada mereka dua kali lipat. Dan adalah yang demikian itu mudah bagi Allah. ( Al-Ahzab : 30 )
Memang benar ayat ini ditujukan khas buat isteri-isteri Nabi SAW disebabkan kemulian dan kedudukan mereka yang sangat mulia, bagaimanapun ayat ini sebenarnya menggariskan bahawa setiap kali bergandanya kemuliaan, maka bergandalah dosanya (jika melakukan maksiat), demikian hukuman ke atas wanita bebas lebih berat dari wanita hamba sahaya di zaman silam. Dikatakan sebabnya adalah kerana bertambahnya mudarat dan penghinaan kepada Nabi SAW (Al-Jami' Li Ahkam AL-Quran ; AL-Qurtubi, 14/ 114 dengan sedikit pindaan )
Demikian jualah bagi wanita bertudung yang telah menaik tarafkan kedudukannya dengan kemuliaan Islam, tetapi kemudiannya melakukan maksiat. Maka jika bersandarkan kaedah di atas, jelaslah dosa mereka bertambah besar kerana maksiat itu sendiri dan merosakkan imej Islam secara jelas. Bertawbatlah. Demikian juga halnya maksiat (termasuk pelaburan internet yang disepakati haram secara sepakat ulama dunia dan Malaysia) yang dilakukan oleh seorang ustaz yang jauh lebih besar dosanya dari dosa oleh lelaki biasa di sebabkan imej dan kedudukan yang dibawanya.
sumber : www.zaharuddin.net
Fikir-fikirkan dengan iman wahai sahabat sekalian.
0 comments:
Post a Comment