Ibu mana yang tak sayang anak, walaupun dia dilahirkan tanpa diminta, pengalaman mengandung dan melahirkannya selepas ‘bersama’ selama sembilan bulan nyata membuatkan kasih saya kepadanya tidak berbelah bagi.
Walaupun dia dilahirkan sebagai anak luar nikah dan keluarga terutama ayah tidak dapat menerima kehadirannya saya terpaksa relakan dia diserahkan kepada keluarga angkat apabila semua proses dokumentasinya selesai,” kata remaja terlanjur yang ingin dikenali sebagai Izzati, 22, ketika ditemui di sebuah rumah perlindungan di sini, baru-baru ini.
Remaja yang berasal dari Puchong ini berkata, sebaik saja ibu bapanya dimaklumkan doktor yang dia mengandung tujuh bulan, dia dihantar ke rumah perlindungan bagi mengelakkan berita mengenai kandungan itu diketahui adik beradik mahupun ahli keluarga lain terutama jiran.
Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, jika dia mampu mengubah masa silamnya, semua teguran dan nasihat ibunya pasti dituruti dan kerana kebodohan dirinya yang memberontak gara-gara dikongkong akhirnya memakan diri sendiri.
Katanya, segalanya bermula apabila dia melanjutkan pelajaran ke kolej untuknya melarikan diri jauh daripada keluarga terutama ibu yang sering menjadikan dirinya tempat melepaskan marah setiap kali adik-adiknya membuat kesalahan.
Dengan memberikan alasan kerja kursus banyak, saya bebas untuk tidak pulang ke rumah pada hujung minggu walaupun jarak antara rumah dan kolej tidak jauh.
Dia Memaksa Saya Melakukan Perbuatan Itu Walaupun Baru Kenal Dua Bulan
Masa yang ada saya keluar bersama teman lelaki. Walaupun baru berkenalan dua bulan, saya tidak sangka yang dia (teman lelaki) memaksa saya melakukan perbuatan asmara dan akhirnya dia pergi tanpa alasan munasabah,” katanya yang baru melahirkan anak lelaki awal Mac lalu.
Izzati berkata, kecewa dengan tindakan bekas teman lelakinya itu, dia berkawan dengan seorang lagi lelaki lain, namun nasibnya tetap sama apabila lelaki berkenaan juga mengambil kesempatan serta memberi jaminan yang dia tidak akan mengandung sebelum meninggalkannya.
Dia mendakwa, gara-gara takut membeli alat ujian kehamilan dia tidak sedar yang kandungannya sudah mencecah tujuh bulan sehinggalah kedua orang tuanya membawanya ke klinik kerana hairan melihat perubahan pada dirinya.
Menurutnya, selepas dimaklumkan doktor yang dia mengandung, dunia dirasakan kelam dan apa yang lebih sedih apabila melihat wajah emak yang kecewa malah ayah ketika itu seakan orang hilang pertimbangan meraung tidak dapat terima hakikat yang anaknya mencipta aib buat keluarga.
Sehingga kini hanya emak dan ayah yang tahu kisah sebenar dan di mana saya berada,jika adik-beradik bertanyakan kenapa ‘kakak’ tidak balik, emak memberi alasan ‘kakak’ sibuk dengan kelas dan kerja kursus,” katanya.
0 comments:
Post a Comment