EMPAT pelancong wanita membentangkan tikar sebelum berjemur.
Port Dickson: Empat wanita dipercayai pelancong asing selamba berjemur separuh bogel di Pantai Saujana, Batu 4, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mereka yang dianggarkan berusia antara 20-an dan 30-an berjemur di atas tikar di pantai dalam keadaan cuaca panas terik.
Bagaimanapun, gelagat mereka disedari seorang pengunjung, Chow Weng, 30-an, yang mandi di laut di pantai berkenaan.
Menurut Chow, pada mulanya dia terpandang empat pelancong terbabit menghampiri pantai dengan memakai bikini sebelum berbaring di atas tikar.
“Tidak lama kemudian, saya terkejut melihat mereka selamba menanggalkan coli yang dipakai.
“Saya segera naik ke pantai dan membersihkan diri di tandas sebelum mengambil kamera di dalam kereta dan merakamkan beberapa gambar sebagai bukti pelakuan pelik mereka kerana mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelancong yang berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.
“Saya cuba menghampiri mereka, namun mereka segera menutup tubuh masing-masing dengan tuala mandi sebaik menyedari diperhatikan,” katanya disini, seperti yang dipetik dari akhbar Harian Metro awal pagi ini.
Chow berkata, dia kemudian pulang ke rumahnya pada jam 3 petang dan menghubungi raknnya memaklumkan kejadian terbabit.
“Saya berharap pihak berkuasa tempatan memantau setiap perlakuan pelancong asing suapaya mereka tahu batas susila di negara kita terutama di tempat awam,” katanya.
Sementara itu, penjaga tandas awam di pantai terbabit, Latif Ahmad, 61, berkata, empat pelancong berkenaan dari arah sebuah hotel empat bintang pada jam 12 tengah hari dengan berbikini.
“Mereka bertanya adakah saya mempunyai payung untuk disewa dan terus meminta sebuah kerusi sambil membawa tikar serta sedikit makanan dan minuman ringan ke pantai yang terletak 30 meter dari tandas.
“Saya tidak nampak mereka berbogel kerana tempat saya duduk ini terlindung dari pantai,namun saya menyedari seorang lelaki ada mengambil gambar tertentu di pantai,” katanya, semalam.
Latif berkata, empat pelancong wanita itu kemudian datang ke tandas berkenaan untuk mandi pada jam 4 petang.
“Mereka beritahu datang dari Sydney, Australia dan saya mendengar mereka mahu ke premis makanan segera di bandar Port Dickson sebelum beredar menaiki teksi,” katanya yang terkejut dimaklumkan kumpulan pelancong terbabit berjemur separuh bogel di pantai itu.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) Datuk Ab Khalid Mat ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan perkara terbabit.
“Kami harap orang ramai yang melihat kejadian seperti ini di mana-mana juga di kawasan Port Dickson segera membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.
“Walaupun kes ini terpencil, MPPD memandang serius mengenainya dan akan melakukan siasatan lanjut,” katanya.
0 comments:
Post a Comment